Mengenai Saya

Foto saya
Pangandaran, West Java, Indonesia
Simple

Jumat, 27 Juli 2012

Bercouple Atau Jual Mahal

Masa kecil saya pernah memikirkan, memang perlukah seorang yang dewasa ber'dating' sebelum melangkah ke alam perkahwinan?
Kenapa saya bingung akan hal ini? Kecil-kecil lagi sudah gatal?
Bukan begitu. Naluri kanak-kanak saya pada waktu itu merasakan tidak selesa dengan apa yang ditayangkan dikaca televisyen.
Jikalau ceritanya tentang pasangan kekasih, sudah pasti ada adegan keluar makan berdua-duaan sebelum punya ikatan yang sah.
Cerita tempatan apatah lagi luar negara, babak kekasih dilamun cinta sebelum berkahwin disusun dengan penuh teliti.
Tetapi saya memang bingung.
Memang perlukah begitu? Perlukah bercouple sebelum berkahwin? Nyata saya tidak selesa di awal usia kanak-kanak.
Cinta Monyet
Alhamdulillah, semasa di sekolah rendah mahupun sekolah menengah saya jauh dari memahami erti ataupun mengalami cinta monyet.
Istilah yang biasa tetapi sekadar mendengar.
Ada sahaja rakan-rakan yang ber'cinta' seawal darjah lima.
Saya bingung. Memang terlalu muda untuk memahami tentang perkara ini.
Maka tidak hairanlah mengapa saya bingung ketika itu.
Pelik dan mencari-cari sebab mengapa ada yang bercinta seawal usia di darjah lima.
Di sekolah menengah, lain pula ceritanya. Kisah bercinta menjadi lebih hebat.
Mungkin merasakan diri lebih matang sedangkan baru menginjak remaja.
Kisah cinta disekeliling saya bermacam-macam.
Kenyataan-kenyataan seperti; batch kami bercinta seperti tukar baju (pelajar batch tersebut sering bertukar-tukar pasangan ibarat menukar baju setiap hari), ada senior mengaku dia bercinta untuk mencari pengalaman.
Aduh! Saya menjadi semakin bingung.
Benarkah ini semua?
Erti couple, cinta dan perkahwinan
Kini setelah saya berusia dua puluh dua tahun, saya semakin mengerti.
Kisah pasangan berdua-duaan yang saya fikirkan semasa kecil, bukanlah sesuatu yang dianjurkan oleh Islam.
Bahkan, Islam sebagai cara hidup menggariskan cara yang cukup indah dan sempurna untuk mengikat pertalian antara adam dan hawa.
Kisah cinta monyet yang membingungkan semasa di zaman sekolah juga dapat saya cari jawapannya.
Buku Tentang Cinta karangan Ustaz Pahrol banyak membantu saya untuk memahami isu ini.
Tambahan pula, semasa saya di Kolej Yayasan UEM Lembah Beringin, forum Tentang Cinta telah diadakan. Panel-panel terdiri daripada Ustaz Pahrol sendiri, Ustaz Hashim (trainer Fitrah Perkasa) dan Ustaz Hasrizal.
Panel yang hadir cukup berpengalaman kerana mereka jauh lebih dewasa dan sudah berkeluarga.
Islam dan Cinta
Islam menganjurkan lelaki dan wanita bertaaruf iaitu berkenal-kenalan sebelum mengikat pertunangan.
Cara bertaaruf menjaga adab dan syariat. Pasangan tidak berdua-duaan tetapi ditemani oleh orang tengah mahupun ibu bapa sendiri.
Bercinta pula perlu punya tujuan. Apa tujuan cinta monyet?
Sekadar suka-suka atau untuk mencari pengalaman? Jika benar, bukankah itu alasan-alasan yang menyedihkan?
Bercinta adalah berkasih sayang.
Mampukah untuk kita berkasih sayang dengan seseorang yang asing jika kita belum mampu menyayangi ahli keluarga sendiri?
Maka jika benar, kita berkasih sayang dengan orang luar perlu sama seperti berkasih sayang dengan ahli keluarga sendiri.
Tetapi adakah perkara ini benar-benar berlaku di antara pasangan yang menyatakan diri mereka bercinta?
Bagi saya, untuk memahami istilah cinta, saya perlu memahami erti mencintai diri sendiri, mencintai ahli keluarga, mencintai rakan-rakan dan yang lebih utama mencintai Allah dan RasulNya.
Saya perlu menguasai erti cinta ini sebelum mencintai seseorang yang asing - lelaki dalam hidup seorang wanita.
Terlalu teoritikal? Pandai-pandailah mencari cara untuk amalinya.
Semakin dewasa saya semakin memahami dan lihat sendiri teori-teori cinta secara praktikalnya (bukan saya yang bercinta, tetapi melihat realiti disekeliling).
Cinta itu perlukan kepercayaan dan tanggungjawab. Cinta itu memberi tanpa mengharap balasan.
Teori ini memang benar untuk menyelesaikan masalah-masalah perkahwinan yang saya ketahui(bukan menjaga tepi kain orang, tetapi mungkin diri sudah cukup dewasa memahami permasalahan ini).
Perkahwinan yang memang bergelora.
Sesekali terasa takut pula memikirkannya. Tetapi seperti kata emak; Jalan ini mudah sahaja jika manusia ambil jalan yang lurus. Tetapi hakikatnya, ada yang memilih yang bengkang-bengkok.
Jual mahal?
Setelah berusia dua puluhan dan masih tidak berpunya atau tidak pernah ber'boyfriend', maka masyarakat amnya masih mempunyai stigma bahawa tuan punya badan mungkin jual mahal.
Nasihat seperti , jangan jual mahal nanti tidak laku dan sebagainya dilontarkan.
Persoalannya, setelah beberapa perkara seperti di atas dibangkitkan, adakah benar bahawa seseorang yang tidak ber'boyfriend' itu wajar dikategorikan sebagai jual mahal atau memilih?
Atau mungkin tuan punya badan sekadar menongkah norma masyarakat kerana tidak bersetuju dengan gejala couple yang dipandang sebagai satu kemestian dan kebiasaan?
Atau mungkin tuan punya badan benar-benar memikirkan erti sebenar cinta dan berkasih sayang?
Isu yang berat untuk difikirkan bersama.
Masakan tidak, di dalam hadis daripada Nabi s.a.w. yang menegaskan dengan maksud bahawa :
"Sesiapa yang telah berkahwin dikalangan kamu maka dia telah sempurnakan separuh dari urusan agamanya dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah pada setengah atau separuh urusan agama yang selebihnya".
Masakan cinta dan perkahwinan perkara yang main-main sekiranya sebesar ini ganjaran yang dijanjikan Allah.
Tulisan ini sekadar perkongsian yang sudah mula saya fikirkan sejak kecil lagi. Mencari-cari apakah formulanya sedangkan Islam memang ada jawapannya.
Tulisan ini juga sekadar muhasabah diri dan mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah dan mendoakan kakak kandung saya yang bakal melansungkan pernikahan Sabtu ini.
Juga buat senior mahupun junior yang selamat diijabkabulkan sepanjang cuti ini.
Tahniah dan selamat menempuh alam baru!




http://romdani45498.blogspot.com/2011/04/bercouple-atau-jual-mahal.html

Telefon Pintar, Popular Tetapi Bawa Kesan Buruk?

Suatu ketika dulu, agak mudah untuk kita menyapa mereka yang tidak dikenali kerana masa itu masyarakat lebih mesra dalam bertegur sapa.Tetapi kini, orang ramai lebih gemar 'membayar' untuk menghubungi kenalan yang jauh walaupun ada orang yang lebih dekat untuk dijadikan teman berbicara.
Di masa yang lalu, makan bersama keluarga adalah satu situasi di mana ibu menunjukkan kebolehannya memasak manakala abang akan bangga bercerita tentang perlawanan bola sepak di sekolahnya.

Ketika itu jugalah si adik akan 'menyambar' ketulan ayam goreng di pinggan kakaknya.Itulah gambaran kemesraan dalam satu keluarga.Kini, 'masa berkualiti' bersama keluarga itu makin pudar kerana keriuhan waktu makan menjadi sepi dan dingin kerana masing-masing lebih gemar memberi perhatian kepada peralatan komunikasi canggih milik mereka.

Barang Kemas Masakini
Jika dulu, barang kemas dan perhiasan badan seperti emas dan batu permata dijadikan ukuran simbol kekayaan seseorang, perkara itu bukanlah lagi satu-satunya kayu pengukur di masa sekarang. Kini peralatan komunikasi canggih seperti Blackberry, telefon Android, iPhone, iPad dan komputer peribadi adalah simbol status individu di dalam masyarakat.
Walau terdapat berita positif tentang bagaimana peralatan canggih ini dapat meningkatkan produktiviti, persoalan yang masih tidak terjawab tetap timbul tentang impak daripada gajet-gajet ini terhadap rentak hidup sosial masyarakat.
Semakin Popular
Penggunaan telefon pintar sudah semakin popular dalam kalangan masyarakat Malaysia. Suatu masa dulu ia hanya mampu diguna oleh warga korporat dan ahli perniagaan tetapi kini gajet ini mampu dimiliki kebanyakan orang. Telefon kini menjadi semakin 'pintar' setiap hari.
Setiap model peralatan ini disesuaikan dengan keperluan komunikasi, kerja serta hiburan. Pelbagai e-mel serentak juga boleh diterima oleh gajet ini. Perisian seperti MS Office dan PDF reader juga boleh dimasukkan ke dalam telefon pintar untuk kegunaan semasa.
Satu kajian pada tahun 2007 dijalankan oleh Research In Motion (RIM)mendapati pengguna biasa Blackberry boleh memberi satu jam dari masa muat turun mereka untuk keperluan produktif setiap hari dan ini meningkatkan darjah efisyen sebanyak 30 peratus.
Elemen hiburan merupakan satu lagi faktor yang membuatkan telefon pintar hangat di pasaran. Keupayaan menyimpan serta memainkan video/filem, video YouTube dan juga hubungan dengan situs jaringan sosial selain pelbagai permainan yang menarik merupakan satu lagi aspek yang perlu 'dipunyai' oleh generasi masa kini.
Sehingga kini terdapat lebih 35,000 aplikasi iPhone dan sehingga bulan Januari tahun ini sebanyak 10 bilion aplikasi dimuaturun sejak produk ini memasuki pasaran pada tahun 2008. Pembangunan perisian telefon pintar juga semakin rancak.
Dibandingkan dengan 10 tahun dulu, mereka yang menggunakan gajet itu kini boleh mencipta aplikasi telefon mereka sendiri dan menjadikan satu peralatan serba boleh seperti bertindak sebagai sebuah buku-e, menjadi 'terminal' permainansehinggakan ada juga yang menjadi penghalau nyamuk!.
Imbangan Kerja-Kehidupan
Debat tentang impak telefon pintar terhadap kehidupan penggunanya tetap berterusan. Bagi kebanyakan badan korporat, mereka mahukan perhubungan komunikasi 24 jam untuk mempertingkat kecekapan dan produktiviti. Tetapi adakah ini adil bagi
pekerja mereka?
Bila difikirkan, situs jaringan sosial yang membuatkan pengguna menggunakan gajet tangan mereka secara berterusan. Sekilas pandang ini boleh memberi kemudaratan. Bila individu dapat 'diheret' dari kehidupan mereka untuk bekerja (luar dari masa bekerja) sudah cukup buruk, mengeluarkan mereka dari suasana sekeliling akan lagi memburukkan keadaan.
Adakah kita akan bergantung kepada teknologi untuk berhubung dengan orang lain walaupun beliau berada tidak jauh dari diri kita? Inilah aspek di mana imbangan perlu wujud. Tak akan ada sesiapa yang mahu ke stadium dan dikelilingi oleh penonton yang bersorak bagi satu gol yang dijaringkan sedangkan pada masa yang sama mereka juga sibuk menghantar teks laporan kerja kepada majikan.
Menguruskan Gajet Anda
Gajet-gajet ini dicipta dengan niat yang baik iaitu menyenangkan komunikasi antara satu sama lain. Seperti juga makanan, terlebih penggunaan akan membawa kepada kemudaratan. Memilih keutamaan pada masa yang sesuai adalah kunci bagi penggunaan telefon pintar.
Seseorang itu mesti bertindak bijak bergantung pada situasi. Bila seseorang itu hadir di majlis pengkebumian, adakah beliau perlu menjawab e-mel atau hantaran Twitter. Kalau berbuat sedemikian sudah tentu beliau akan dianggap tidak sensitif dan tidak hormat terhadap keluarga simati. Tambah buruk lagi, ini akan mendatangkan kemarahan ahli keluarga individu yang meninggal dunia itu.
Tetapi pada seminar di mana penceramahnya membuatkan anda 'mengantuk', jelingan terhadap perkara terkini yang muncul di telefon anda akan membuat hari anda lebih 'ceria'. Belajar menjauhkan diri dari gajet anda juga merupakan satu pendekatan yang baik. Seseorang itu harus belajar 'menyimpan' gajet kesayangannya ketika melakukan aktiviti seperti senaman, menunaikan ibadat serta keperluan agama ataupun ketika makan bersama keluarga.
Berikan masa bagi telefon kesayangan anda untuk 'berehat' . Ini akan membolehkan anda memberi tumpuan kepada kerja-kerja lain yang juga memerlukan perhatian sepenuhnya. Juga cuba elak daripada bertindak membalas dan memberi respons untuk e-mel yang diterima berkaitan dengan kerja sebelum masuk tidur. Kalau anda berbuat demikian, ia akan memberi impak yang signifikan terhadap kesihatan fizikal dan juga mental kerana ini akan mengurangkan masa rehat.
Cabaran Berterusan
Perkembangan teknologi akan terus rancak. Begitu juga permintaan untuknya. Ini akan membawa cabaran baru bagi setiap individu. Keupayaan menimbang serta membuat keputusan yang baik bagi mencapai imbangan kerja dan kehidupan sememangnya diperlukan. Ini memerlukan perubahan sikap selain dari proses pembelajaran dan percubaan.
Tetapi perkara ini adalah sesuatu yang mesti dan memang perlu dilakukan. Sememangnya hidup ini adalah lebih bermakna daripada hanya menjawab e-mel dan melayari laman Facebook.





http://romdani45498.blogspot.com/2011/04/telefon-pintar-popular-tetapi-bawa.html

Pemuda Yang Ikhlas Dengan Cinta

Pada zaman dahulu, ada seorang jejaka yang sangat suka membaca dan selalu menghabiskan masanya di perpustakaan pada waktu lapang. Dia amat suka membaca novel dan buku cerita. Pada suatu hari, dia telah terjumpa sebuah novel yang ada tertulis pada kulit novel itu nama dan alamat seorang gadis di salah satu muka suratnya. Tertulis di situ : "Catrina, ikhlas dan perlukan sahabat."
Tergerak hati jejaka untuk mengutus surat kepada si gadis misteri itu. Setelah pulang ke rumah, jejaka itu menulis surat untuk memberitahu niat ingin berkawan dengan gadis itu. Beberapa hari kemudian si jejaka mendapat balasan daripada gadis tersebut bahawa dia juga bersetuju untuk berkawan dengan si jejaka.
Hari betukar minggu dan minggu bertukar bulan. Persahabatan mula bertukar kepada perasaan sayang. Namun begitu mereka masih belum pernah bersua muka. Si jejaka ingin sekali bertemu si gadis misteri dan begitu juga dengan si gadis. Walaupun kedua-keduanya masih belum melihat rupa masing-masing, tetapi perasaan sayang tetap berbuku di hati.
Pada suatu hari, si jejaka dipanggil oleh bala tentera untuk pergi ke medan perang. Si jejaka merasa amat susah hati kerana dia bimbang sekiranya dia mungkin tidak dapat berjumpa dengan si gadis kesayangannya. Maka diutuskannya sepucuk surat berbunyi, "kalau Allah panjangkan jodoh kita, dan andai kamu masih sayang padaku, kita berjumpalah di stesen keretapi pada hari perang diumumkan tamat nanti. Aku akan memakai pakaian tenteraku dan membawa sekuntum mawar berwarna merah. Aku akan mengenali kamu sekiranya kamu juga memegang sekuntum bunga mawar merah. Setelah itu izinkanlah aku membawamu untuk makan malam dan bertemu orang tuaku."
Maka pergi lah jejaka ke medan perang dengan tenang setelah mengutuskan surat itu...
Beberapa bulan kemudian...
Pada hari pengumuman perang tamat, si jejaka pergi ke stesen keretapi yang dijanjikan sambil memegang sekuntum bunga mawar merah di tangannya. Diperhatikannya seorang demi seorang gadis yang berada di stesen keretapi itu sekiranya ada yang turut memegang bunga mawar merah sepertinya.
Tiba-tiba, si jejaka ternampak seorang gadis yang agak berisi, sedikit hitam dan berjerawat mukanya duduk di kerusi roda sambil melihat sekeliling seolah-olah mencari seseorang. Kakinya kudung dan tangannya cacat sebelah. Sebelah lagi tangannya memegang sekuntum bunga mawar berwarna merah. Si jejaka sangat terkejut melihat keadaan fizikal dan wajah gadis pujaannya selama ini amat berbeza dari imaginasinya, namun dia memberanikan diri menghampiri gadis tersebut.
"Catrina?"
Gadis itu melihat ke arah si jejaka dan tersenyum ceria. Si jejaka terus menghulurkan bunga mawar kepada si gadis dan berkata, "aku amat merinduimu. Terimalah bunga ini dan pelawaanku untuk makan malam bersama kedua ibu bapaku. Orang tuaku tidak sabar-sabar lagi untuk bertemu denganmu," kata jejaka itu.
Si gadis itu tersenyum lagi dan berkata, "Aku tidak tahu apa yang terjadi. Tetapi ada seorang gadis cantik jelita memberikan bunga ini kepadaku sebentar tadi. Dia memintaku memberitahu kamu bahawa dia sedang menunggu kamu di restoran di hadapan stesen ini sekiranya kamu mempelawaku makan malam dan bertemu orang tuamu."
----------TAMAT------------
Berapa ramaikah manusia yang sesuci hati jejaka ini? Dia melihat kepada hati dan bukan kepada rupa. Dia telah mengotakan janjinya dan tetap berpegang kepada perasaan sayang walaupun pada mulanya dia menjangkakan gadis cacat itu adalah Catrina. Masihkah lagi wujud lelaki seikhlas dan seluhur hati pemuda itu?





http://romdani45498.blogspot.com/2011/04/pemuda-yang-ikhlas-dengan-cinta.html

Super Iman vs. Super Nafsu

Suatu pagi yang hening ketika berkumandangnya azan subuh,
Iman : Bos, bangun ! Dah masuk waktu subuh ni.
Syaitan @ Nafsu : Alah... Baru azan bos. Tidur la lagi.
Iman : Bangun bos ! kalau bangun awal dan siap awal boleh solat jemaah di masjid
Syaitan @ Nafsu : Belum iqomat lagi. Nanti dah qomat baru la bos bangun.
15 minit selepas azan berkumandang...
Iman : Bos, masjid dah qomat tu. Jom bangun, solat di masjid !
Syaitan @ Nafsu : Tak payah la pergi masjid. Solat di rumah pun sah juga bos. Tidur dulu. Waktu subuh panjang lagi ni.
Selepas 59 minit berlalu, dia terjaga dari tidurnya...
Iman : Bos dah lewat ni, jom solat !
Syaitan @ Nafsu : Alang-alang dah lewat, baik bos terus tidur je. Nanti boleh qodho' solat tu.
Boleh dikatakan setiap pagi kita akan melalui situasi seperti di atas. Di mana kita perlu memilih antara memenangkan iman ataupun syaitan dan nafsu kita. Kalau iman yang kita pilih, maka kita akan bangun menunaikan solat subuh dengan segera. Tapi jika syaitan dan nafsu yang menjadi pilihan maka kita akan tangguh dan tangguh menunaikan solat. Lebih malang lagi jika kita terus tidur sehingga habisnya waktu subuh. Banyak lagi situasi yang memerlukan kita membuat pilihan sama ada memenuhi kehendak iman ataupun nafsu dan syaitan. Syaitan akan membutakan mata kita dan menjadikan dosa dan maksiat yang kita lakukan nampak indah. Firman Allah dalam Surah an-Nahl ayat 63 yang bermaksud
"Demi Allah, sungguh Kami telah mengutus (rasul-rasul) kepada umat-umat sebelum engkau (Muhammad), tetapi syaitan menjadikan terasa indah bagi mereka perbuatan mereka (yang buruk), sehingga dia (syaitan) menjadi pemimpin mereka pada hari ini dan mereka akan mendapat azab yang sangat pedih".
Begitulah sahabat-sahabat sekalian, syaitan dan nafsu menggoda kita agar lalai dalam melakukan ketaatan kepada Allah. Ada saja alasan dan cara yang diberikan kepada kita supaya kita mengikut telunjuk dia. Kreatif dan liciknya makhluk Allah yang bernama syaitan ini dalam menyesatkan anak cucu nabi Adam. Mereka bersungguh-sungguh menggunakan waktu yang diberikan oleh Allah ini untuk mengumpul pengikutnya sebanyak yang boleh untuk bersama-sama mereka di neraka kelak. Firman Allah dalam Surah Fatir ayat 6 yang bermaksud
"Sungguh, syaitan itu musuh bagimu, maka perlakukanlah ia sebagai musuh. kerana sesungguhnya syaitan itu hanya mengajak golongannya agar mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala".
Syaitan tidak pernah berputus asa untuk menggoda manusia. Jika plan atau strategi pertama tidak menjadi maka dia akan ubah kepada plan kedua dan begitulah seterusnya sehingga manusia terkulai dengan pujuk rayu syaitan. Nau'zubillah. Contohnya jika mereka tidak berjaya menghalang manusia dari melakukan ketaatan maka mereka akan menusuk pula jarum riak ke dalam diri manusia agar berbangga dengan amal kebaikan yang dilakukan. Apabila ada sebesar zarah riak yang timbul pada setiap amal yang kita lakukan maka amalan itu akan tertolak. Syaitan memang mahukan kita miskin pahala dan kaya dengan dosa.
Itulah antara kelebihan syaitan, tidak pernah putus asa dan licik serta kreatif dalam menggoda manusia. Kelemahan kita manusia pula ialah sering termakan dengan tipu daya mereka. Manusia yang sering leka dan lalai dari mengingati Allah adalah sasaran yang paling mudah untuk ditumpaskan dan dikalahkan oleh godaan syaitan ini berbanding mereka yang selalu mengingati Allah. Firman Allah dalam surah Al-'Araf ayat 201 yang bermaksud
"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa apabila mereka dibayang-bayangi fikiran jahat (berbuat dosa) dari syaitan, mereka pun segera ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat (kesalahan-kesalahannya)".
Sahabat sekalian, jangan biarkan diri dikuasai nafsu dan syaitan sekiranya tidak mahu dihumban ke dalam api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia yang derhaka dengan perintah Allah. Jikalau kita mampu untuk menahan azab Allah di akhirat kelak, maka berbuatlah sesuka hati di di dunia ini dan turutilah telunjuk syaitan. Tapi jika kita mahu menikmati keindahan syurga kelak maka berkorbanlah menahan keinginan nafsu dari melakukan perkara yang dimurkai Allah dan berhentilah dari terus menerus mengikut jejak langkah syaitan. Syaitan tidak mampu untuk menolong dirinya sendiri apatah lagi kita diakhirat kelak. Firman Allah dalam Surah Ibrahim ayat 22 yang bermaksud
"Dan syaitan berkata ketika perkara (hisab) telah diselesaikan, "Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan aku pun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya. Tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan (sekadar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu janganlah kamu mencerca aku, tetapi cercalah dirimu sendiri. Aku tidak dapat menolongmu, dan kamu pun tidak dapat menolongku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku (dengan Allah) sejak dahulu. "Sungguh, orang yang zalim akan mendapat siksaan yang pedih".
Satu kata-kata hikmah yang berbunyi
"Jika kamu tidak disibukkan dengan kebaikan maka kamu akan disibukkan dengan kebatilan. Kebatilan akan mendekatkan kamu dengan syaitan"
Oleh itu sahabat, jangan biarkan diri lalai dan leka sehingga memudahkan syaitan menggoda kita. Pelajarilah 2 sifat syaitan iaitu tidak mudah putus asa dan kreatif. Jadilah orang yang tidak putus asa dengan rahmat Allah dan orang yang kreatif dalam menolak segala pujuk rayu syaitan laknatullah. Moga kita dijauhkan oleh Allah dengan makhluk yang bernama syaitan ini. Firman Allah dalam surah Al-'Araf ayat 200 yang bermaksud
"Dan jika syaitan datang menggodamu, maka berlindunglah kepada Allah (dengan membaca a'uzubillahi minassyaitanirrajim). Sungguh, Dia Maha Mendengar dan Maha Mengetahui".




http://romdani45498.blogspot.com/2011/04/super-iman-vs-super-nafsu.html

Jangan Ditangisi Apa yang Bukan Milikmu

Dalam perjalanan hidup ini seringkali kita merasa kecewa. Kecewa sekali. Sesuatu yang luput dari genggaman, keinginan yang tidak tercapai dan kenyataan yang tidak sesuai dengan harapan.
Dan sungguh sangat beruntung andai dalam saat-saat tergoncangnya jiwa, masih ada setitik cahaya dalam kalbu untuk merenungi kebenaran. Masih ada kekuatan untuk melangkahkan kaki menuju majlis-majlis ilmu dan majlis-majlis zikir yang akan memberikan ketenteraman jiwa.
Hidup ini ibarat belantara. Tempat kita mengejar pelbagai keinginan dan impian. Dan memang manusia diciptakan mempunyai kehendak serta mempunyai keinginan. Tetapi bukan semua yang kita inginkan dapat dicapai. Sesungguhnya tidak mudah menyedari bahawa apa yang bukan menjadi hak kita tak perlu kita tangisi. Banyak orang yang tidak sedar bahawa hidup ini tidak punya satu hukum: harus berjaya, harus bahagia atau harus-harus yang lain.
Betapa banyak orang yang berjaya tetapi lupa bahawa hakikatnya semua itu pemberian Allah sehingga membuatnya sombong dan bertindak sewenang-wenangnya. Begitu juga kegagalan sering tidak dihadapi dengan betul. Padahal dimensi tauhid dari kegagalan adalah tidak tercapainya apa yang memang bukan hak kita. Padahal hakikat kegagalan adalah tidak terengkuhnya apa yang memang bukan hak kita.
Apa yang memang menjadi milik kita di dunia, samada rezeki, jawatan atau kedudukan, pasti Allah akan berikan. Tetapi apa yang memang bukan milik kita, kita tidak akan mampu miliki; walaupun ia nyaris menghampiri kita atau meskipun kita bermati-matian berusaha mendapatkannya.
"Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Luh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.." (Surah Al-Hadid: 22-23)
Maka sudahlah, jangan kau tangisi apa yang bukan milikmu!





http://romdani45498.blogspot.com/2011/04/jangan-ditangisi-apa-yang-bukan-milikmu.html

Kemenangan Adalah Milik Allah

Kemenangan adalah milik Allah. Jika Dia belum mahu memberikannya kepada kita, maka kita takkan pernah memperolehnya. Kita selalu tertipu. Merasakan bahawa kemenangan itu milik kita, hak kita, bahawa dengan segala amal dan usaha yang kita lakukan, kita pasti menang. Sehinggakan kita terkeliru, tersilau mata. Memfokuskan kepada kemenangan, bukan pada amal dakwah yang berterusan.
Kita harus memahami realiti dakwah. Ia bersifat Robbani. Kita menyeru manusia kepada Allah, menegakkan hukum-hukum Allah. Dakwah ini bukan milik kita, ia adalah amanah. Amanah yang wajib kita sandarkan kepada-Nya. Apabila Dia menentukan bahawa sudah tiba masanya kita menang, maka pasti tidak ada yang dapat menghalang. Jika masih belum nampak bibit-bibit kemenangan, kita harus terus beramal dan berjihad tanpa sedikitpun meragui akan kehendak Allah.
Maka kemenangan, adalah sebuah anugerah Allah. Apabila Allah memberikannya kepada kita, itu bererti sudah selayaknya kita memperolehnya. Jika belum, ertinya kita belum layak memperolehnya. Boleh jadi kesediaan kita belum cukup untuk menggalas segala amanah-amanah pasca kemenangan tersebut. Maka masa, bukanlah sebuah indikator sesebuah kemenangan. Sekalipun sebuah perjuangan itu memakan masa puluhan tahun, bahkan ratusan tahun, belum menjadi penguat bahawa kita harus menang kerana ia adalah sebuah ketentuan Allah!
Kita tahu bahawa kita bukan pemula sebuah perjuangan menegakkan agama Allah. Kita adalah penerus kepada tali-tali rantainya. Dan hujungnya belum tentu kita. Kita mungkin akan bisa merasa kemenangan tersebut, atau kita mungkin mati sebelum tertegak agama ini di seluruh pelusuk bumi. Apa yang paling penting, kita mengambil posisi penerus dakwah yang tidak kenal henti berjuang dan tidak menggantungkan usaha kepada hasil.
Taujih Robbani itu selalu menyeru kita agar ikhlas dalam perjuangan. Tidak merasa besar dengan amal kita, tidak menggantungkan kekuatan pada jumlah kita. Lihat sahaja dalam kisah perang Hunain ketika Umat Islam itu ramai, namun Allah memberikan pelajaran dengan menangguhkan kemenangan untuk Umat Islam. Firman Allah:
"Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (hai para mukminin) di medan peperangan yang banyak, dan (ingatlah) peperangan Hunain, iaitu diwaktu kamu menjadi bongkak karana banyaknya jumlah (mu), maka jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikitpun, dan bumi yang luas itu telah terasa sempit olehmu, kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai." [At-Taubah: 25]
Sudah tiba masanya kita tidak bermain-main dalam melaksanakan dakwah kerana Allah. Ketika Allah memilih kita untuk diberikan nikmat besar ini, janganlah kita mengabaikan dan menolaknya lalu menjadikannya sebagai tugas sampingan. Takut-takut apabila sampai masa kemenangan, kita tidak berada bersama-sama dalam angkatan yang memperjuangkannya.
Bersyukurlah, apabila Allah terus memberikan kesempatan dan ruang untuk kita beramal. Jangan dirisaukan akan kemenangan dan jangan dijadikan ia pelemah kepada amal, kerana KEMENANGAN ADALAH MILIK ALLAH!
"Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong. Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat". [An-Nasr: 1-3]
Kemenangan besar yang kita semua inginkan adalah kita mati dalam keadaan Allah meredhai kita, bahkan lebih istimewa kita gugur ketika sedang melaksanakan tugas-tugas dakwah.
Wallahua'lam.




http://romdani45498.blogspot.com/2011/04/kemenangan-adalah-milik-allah.html

Cara Paling Bijak Mendidik Anak Menjadi Penyabar

Tentunya anda pernah terbaca pelbagai kaedah untuk mendidik anak menjadi seorang yang penyabar. Namun ada satu cara yang diakui semua pakar sebagai Cara Terbaik, Paling Bijak dan Paling Efektif untuk mendidik anak menjadi seorang yang penyabar. Cara ini namanya Role Modeling. Role Modeling bermaksud menjadikan diri anda sebagai contoh atau model untuk ditiru oleh anak anda.
Anak-anak mendengar apa yang anda perkatakan tapi meniru apa yang anda buat. Anak-anak memang suka meniru. Kanak-kanak yang dijaga oleh ibu bapa, tentunya suka meniru apa yang dibuat oleh ibu dan bapa mereka. Oleh itu, saya ingin berkongsi sedikit pengalaman, apa yang saya pelajari dari arwah bapa saya tentang erti kesabaran.
Seperti anda, saya juga biasa membaca tentang tips mendidik anak menjadi orang yang penyabar. Tapi saya yakin, apa yang saya pelajari dari arwah bapa saya jauh lebih berkesan daripada apa yang saya baca dalam pelbagai buku.
Yang menariknya, bapa saya ini jarang berada di rumah. Terlalu jarang. Malah, bapa saya tidak pernah datang ke kenduri kahwin sepupu-sepupu saya, kenduri keluarga, atau makan malam bersama keluarga.Jika ada saudara-mara yang meninggal dunia sekalipun, kelibatnya tidak kelihatan dan hanya diwakili oleh ibu saya. Lazimnya dia ada di rumah lewat malam selepas balik dari kerja. Itu pun dalam keadaan letih lesu, hampir tiada tenaga untuk bergurau dan bermesra dengan anak-isteri.
Oh ya, satu-satunya waktu ayah saya ada di rumah ialah di Hari Raya. Itu pun sekejap sahaja. Cukup untuk solat Hari Raya sebelum bergegas pulang untuk menyalin pakaian dan pergi kerja semula. Ayah saya seorang pemandu bas. Pekerjaannya apa yang disebut sebagai 'kolar biru' atau buruh. Dia hanya dibayar gaji yang rendah mengikut berapa jam dia memandu bas. Akibatnya, bapa saya tidak pernah mampu untuk mengambil cuti langsung.
Ada dua kisah bapa saya yang ingin saya paparkan di sini, mengenai bagaimana arwah mendidik saya dan adik-beradik saya untuk belajar bersabar.
Bersabar Untuk Mendapat Apa Yang Dihajati
Sewaktu saya di sekolah menengah, skim pinjaman buku mula diperkenalkan. Pelajar bumiputra diberi pinjaman buku dengan syarat buku-buku tersebut dipulangkan pada akhir tahun. Tujuannya supaya buku-buku tersebut boleh dipakai semula oleh pelajar-pelajar yang naik tingkatan. Jika nasib baik, dapatlah buku baru. Jika tidak, dapatlah buku yang sudah dipakai oleh orang lain.
Saya masih ingat ketikanya apabila saya memberitahu bapa saya tentang skim pinjaman buku ini. Saya tunjukkan borang yang perlu diisi. Tetapi dia hanya berkata, "Tak payah pinjam buku. Kalau pinjam dapat buku bekas orang sudah guna, mungkin buku tu dah diconteng atau ada yang koyak halamannya. Kalau dapat buku baru, kena dipulangkan pada hujung tahun. Lah (nama timangan saya di rumah, singkatan dari Jamilah) tak boleh gunakan lagi untuk rujukan tahun seterusnya." Begitulah tegasnya bapa saya.
Rumah di mana saya dan adik-beradik saya dibesarkan kemas dan bersih tetapi tidak secantik rumah orang lain. Malah, bapa saya tidak mampu untuk membeli cat untuk mengecat rumah kami. Oleh itu, dinding rumah kami bolang-boleng; penuh dengan bekas air hujan! Setiap kali hujan turun, ia akan meninggalkan kesan seperti peta dalam Atlas Dunia.
Saya dan adik-beradik serta emak saya cukup maklum mengapa kami berkeadaan begitu. Bapa saya berhempas-pulas bekerja dari awal pagi sehingga malam, bukan sahaja untuk menyediakan makanan yang berzat untuk kami, tetapi juga dia mahu memastikan ada cukup wang untuk membayar yuran sekolah DAN buku baru DAN baju baru untuk Hari Raya setahun sekali. Demikianlah hidup kami seharian, tahun demi tahun.
Sejak kecil, saya dan adik-beradik belajar dari bapa saya bahawa satu-satunya cara untuk berjaya, mendapatkan apa yang kami hajati ialah dengan berusaha dan bersabar. Inilah yang tertanam dalam jiwa saya sehingga saya menjadi pelajar perempuan pertama dari kampung saya yang berjaya menjejakkan kaki ke universiti di luar negara. Malah, kesemua adik-beradik saya berjaya menuntut di universiti; sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelumnya dalam sejarah kampung kami.
Bersabar Di Kala Susah dan Sakit
Bapa saya banyak menghabiskan tiga bulan terakhir hayatnya terlantar di hospital di Johor Bahru. Saya sering berulang-alik dari Kuala Lumpur ke sana kerana berganti-ganti dengan adik-beradik saya untuk menemaninya. Beberapa minggu sebelum dia meninggal dunia, bapa saya hampir tidak boleh menelan apa sahaja yang disuakan ke bibirnya. Ini kerana, ada ketumbuhan di dalam kerongkongnya. Yang boleh ditelan sedikit hanyalah beberapa titik air.
Doktor mengenakan sejenis alat disebut sebagai 'shunt' untuk memasukkan sedikit cecair nutrien ke dalam tubuh bapa yang semakin hari semakin uzur. Apa yang menghairankan saya ialah, meskipun jelas bapa saya tidak selesa dan menderita, setiap kali saya bertanyakan padanya, "Sakit ke abah?" Dia hanya menggelengkan kepala dan menjawab lembut, "Taklah." Dia langsung tidak keluh-kesah dengan apa yang dialaminya.
Setiap malam saya di hospital, saya tidur di sofa di sebelah katil bapa. Oleh kerana dia tidak boleh makan atau minum, dia bergantung kepada drip yang dipasang pada urat di pergelangan tangannya. Saya sering tertanya-tanya sehingga kini: Bagaimanakah seorang yang benar-benar menderita boleh begitu sabar dan tenang? Dia cukup redha dengan ujian yang diharunginya. Jauh di lubuk hati saya, saya berazam untuk menjadi orang yang penyabar seperti bapa.
Saya harap dua kisah di atas meyakinkan anda bahawa cara paling bijak, terbaik dan paling berkesan untuk mendidik anak menjadi insan yang penyabar ialah dengan anda sendiri menjadi orang yang penyabar. Tunjukkan contoh pada anak anda apa ertinya kesabaran dengan perbuatan anda sendiri, bukan setakat memberitahunya untuk bersabar.
Bersabarlah jika anda dilanda masalah kewangan. Bersabarlah jika anda dibuang kerja. Bersabarlah jika anda kehilangan orang yang disayangi. Bersabarlah jika anak-anak membuat salah dan silap. Pendekata, bersabarlah jika Allah Maha Pengasih menguji anda. Ingatlah: ANAK-ANAK ANDA TIDAK MENURUT APA YANG ANDA KATAKAN. MEREKA HANYA MENIRU APA YANG ANDA LAKUKAN.




http://romdani45498.blogspot.com/2011/04/cara-paling-bijak-mendidik-anak-menjadi.html

Dengarlah Cerita Isterimu

Kita biasanya balik ke rumah selepas kesibukan kerja di pejabat dengan niat untuk berehat melepaskan penat jerih. Ada juga dikalangan kita yang berniat balik ke rumah sekejap untuk mengambil pakaian sukan dan kemudian terus ke gelanggang permainan bersama-sama dengan rakan-rakan sepejabat atau sepersatuan.

Tidak kurang pula yang sampai di rumah terus mengerjakan solat 'Asar dan kemudian ke halaman rumah meneruskan kerja-kerja menanam pokok bunga kesayangan kita itu.

Apabila sampai ke rumah, hanya anak-anak kita sahaja yang menyambut di pintu. Isteri kita yang "full time house wife" tu ,meneruskan pekerjaan biasanya seperti melipat kain, gosok baju atau menyapu halaman rumah petang-petang.
Kita pun mencium anak-anak dan terus ke bilik tidur dan membuat kerja-kerja seperti di atas tadi. Tidak ada senerio drama tv seperti isteri menyambut dan menyediakan minuman untuk suaminya, sambil suaminya pula merebahkan badannya di sofa empuk "italian set" nya itu.
Bagi isteri yang balik bersama-sama kita satu kereta pula, sepanjang perjalanan dia lelapkan matanya menghala keluar hinggalah sampai ke rumah. Tiba di rumah, masing-masing dengan urusan sendirian, sibuk macam di pejabat tadi. Alangkah ruginya kita menpunyai pasangan yang halal tetapi hubungan kita seperti "bukan muhrim".
Sudahlah kita berpisah lebih lapan jam sehari dengannya kerana bertugas di pejabat, ditambah pula dengan hubungan yang hambar apabila bersama di rumah. Dengan ini, ramailah dikalangan kita yang tidak dapat menikmati cogan kata yang popular masa kini, "Rumahku Syurgaku".
Mengapa boleh terjadi demikian? Mari kita analisis sketsa di atas. Semasa baru-baru kahwin, biasanya isteri kita tu lah yang menyambut kita di pintu dengan senyum manisnya dan memimpin kita ke kerusi atau ke dalam bilik tidur. Dan di situ jugalah dia akan bercerita mengadu hal peristewa-peristewa yang berlaku sepanjang ketiadaan kita di rumah.
Macam-macamlah tajuknya hingga kadang-kadang naik meluat mendengarnya. Tetapi, kita pada masa itu memang pendengar yang amat baik sekali dan bersungguh-sungguh melayan cerita dan emosinya. Baru kahwinlah katakan. Tetapi sekarang semuanya itu hanya tinggal kenangan.
Wahai suami-suami yang dimuliakan,
Memang kita lebih sibuk dari dia. Memang kita lebih banyak memikirkan masalah masyarakat dan negara. Memang minat kita berbeza. Memang kita malas mendengar cakap dia.Tetapi, pernah tak kita fikirkan hasilnya jika kita mendengar sekejap ceritanya bila sampai di rumah setiap petang.
Jika kita boleh meneruskan tabiat seperti baru-baru kahwin dulu tu, menjadi pendengar yang baik, meluangkan masa dalam lima minit mendengar ceritanya sebaik sahaja kita tiba di rumah. Mengangguk-anggukkan kepala dan bersetuju dengan pandangan-pandangannya. Menegur ceritanya apabila dia mula nak mengumpat dengan cara yang baik. Yakinlah, hasilnya nanti, dia akan rasa terhibur dan merasakan dialah orang yang paling gembira sekali pada hari itu.
Cintanya rasa berbalas apabila aduannya itu dilayan dengan belaian kasih mesra. Kusut masai semasa dia memerahkan otaknya membersih, mengindahkan rumah kita dan memasak masakan kegemaran kita, akan terurai kerana kesanggupan kita mendengarnya sembangnya itu.
Tak lama wahai suami-suami, hanya lima minit sahaja yang perlu kita luangkan untuknya, tetapi kesan boleh menceriakannya selama 24 jam untuk hari yang berikutnya.
Niatkan di hati kita untuk mendengar ceritanya sama ada dirumah atau di dalam kereta sebaik sahaja kita melangkah keluar dari pejabat. Jangan amalkan singgah dulu di cafetaria untuk minum petang dengan rakan-rakan sepejabat, ini akan menyebabkan kita merasakan isteri tidak perlu lagi melayan kita di rumah nanti.
Sebab kita sudah kenyang. Sampai di rumah mulakan dengan soalan, "Ada berita baik hari ini ke?" atau yang serupa dengannya. Yakinlah, sebulan kita amalkan, pasti isteri kita akan bersama-sama dengan anak-anak kita menyambut di muka pintu dengan senyuman meleret hingga ke telinganya. Kita juga yang akan terhibur.





http://romdani45498.blogspot.com/2011/04/dengarlah-cerita-isterimu.html

Bagaimana Meringankan Beban Orang Yang Bersedih?

Kehilangan orang yang disayangi adalah satu episod yang begitu sukar ditempuhi dan kesedihan serta sengsara yang dialami mungkin mengambil masa yang lama untuk 'berlalu'.
Dengan kehilangan itu menyusul pula cetusan pelbagai rasa dan emosi antaranya perasaan tergamam, marah dan rasa bersalah. Biasanya hidup seseorang dalam situasi ini akan menjadi gelap dan bertukar 'kosong'.
Beliau selalunya seolah-olah hilang punca, tercari-cari dan tidak pasti tentang apa yang telah dan akan berlaku. Dan bila kita menemui individu yang tenggelam dalam kemelut sebegini, kita tidak pasti dan takut untuk meluahkan apa yang dirasa kerana khuatir percakapan itu akan mengguriskan lagi perasaan dan mengeruhkan lagi keadaan.
Banyak kali, kita rasa seolah kita tidak boleh melakukan apa-apa bagi meringankan beban yang digalas oleh individu yang kehilangan insan dikasihi.Menurut Helpguide.org, jika kita gagal menghilangkan atau meredakan duka yang dihadapi mereka yang 'berduka' itu, sekurang-kurangnya kita boleh memberi ketenangan serta sokongan. Anda boleh bermula dengan memberitahu individu itu, agar dia tahu bahawa anda memang mengambil berat tentang dirinya.
Orang Lain, Lain Dukanya
Setiap perasaan duka yang dialami oleh seseorang adalah lain daripada apa yang dirasai individu lain. Ertinya bagi orang lain, lainlah kesedihannya. Menurut pensyarah kanan Program Pendidikan Universiti Utara Malaysia (UUM), Mejar (B) Dr Yahya Don, duka dan lara seseorang kehilangan yang dikasihi bergantung kepada beberapa faktor seperti personaliti, pengalaman hidup serta kepercayaan (agama).
"Luka dari kesedihan mengambil masa yang lama (untuk pulih). Sembuh dari kesedihan berlaku secara perlahan dan mengambil masa. Proses ini tidak boleh dipaksa atau dipercepatkan dan tiada jadual atau jangkamasa bagi sembuh dari kesedihan", beliau memberitahu Bernama.
Menurut Dr Yahya ada individu yang boleh pulih hanya dalam beberapa minggu atau bulan dan ada juga mereka yang mengambil masa selama bertahun-tahun. Katanya lagi mereka yang cuba membantu seharusnya bersabar dan membenarkan
mereka yang dibantu itu 'sembuh ' dan pulih dengan sendiri.
"Seseorang yang sedang berduka tidak sepatutnya dihalang dari menangis kerana bila individu itu sedang melalui satu tempoh yang sukar, perkara yang terbaik bagi mereka yang ingin membantu adalah membiarkan kesedihan itu berlalu dengan sendirinya", kata beliau.
Dr Yahya juga menasihati mereka yang ingin membantu agar mengelak dari cuba 'membetulkan' keadaan. Katanya percakapan seperti "ianya sudah ditentukan (sebegini) atau "ramai orang telah melaluinya" seharusnya dihindarkan. Menurut pakar terapi Pamela Jerry, percakapan seperti "dah lah tu", "semua orang akan melaluinya" atau "fikirkan tentang orang lain yang menerima nasib lebih buruk" adalah sama sekali perlu dielakkan.
Percakapan sebegini akan membuatkan seseorang yang berduka itu menjadi lebih sedih. "Saya fikir tidak bijak bagi kita memberi anggaran tentang kesedihan yang berlaku kerana kesedihan adalah berlainan dari satu individu ke individu yang
lain.
"Anggap anda mempunyai nasib yang sama dan dengar apa yang mereka ingin luahkan. Biarkan dia tahu bahawa dia bukan keseorangan dan anda ada bersamanya untuk berkongsi apa yang dia rasakan".
Tidak Perlu Cakap Apa-Apa
Menurut satu artikel yang ditulis Vivian Nelson Melle, ungkapan 'membisu seribu bahasa' sememangnya benar dan ini memang tepat kerana seseorang yang kehilangan yang dikasihi akan dibanjiri dengan banyak memori bermain di fikirannya.
"Perkara terakhir yang mereka mahu ialah 'bercakap' tentang episod itu. Hanya bila seseorang yang berduka bersedia (untuk bercakap), barulah mereka mula bercakap tentang apa yang mereka alami. Sehingga tibanya masa itu, menyepi adalah lebih baik," kata beliau.
Bagaimanapun Dr Yahya mempunyai pendapat yang berlainan. Katanya, ramai orang yang menjauhi individu yang bersedih disebabkan mereka tidak tahu apa yang sebenarnya perlu dicakapkan dan perkara yang paling buruk boleh dilakukan adalah dengan 'membisu'.
Menurut pensyarah itu, orang takut meluahkan percakapan yang salah yang boleh memburukkan lagi keadaan. Oleh itu interaksi yang sebaiknya adalah dengan mengucapkan "Saya tidak pasti tentang apa yang awak rasa atau perlu, tetapi saya ada di sini untuk membantu. Beritahu saya apa yang awak perlukan".
"Berkongsilah tentang pengalaman yang pernah dilalui dan bagaimana anda menyelesaikan episod itu. Hindarkan daripada memberitahu apa yang dia rasa dan menyuruh dia berhenti bersedih. Itulah dua perkara yang perlu dielak", kata Dr Yahya.
Membantu Urusan Harian
Menurut Dr Yahya lagi, seorang yang berduka akan kelihatan seolah-olah tidak bermaya dan tiada motivasi baginya untuk berbuat apa-apa. Oleh itu mereka yang ingin membantu boleh menawarkan pertolongan bagi menjalankan kerja harian seperti membasuh pinggan serta pakaian yang kotor.





http://romdani45498.blogspot.com/2011/04/bagaimana-meringankan-beban-orang-yang.html