Institusi keluarga adalah tonggak kepada pembinaan sebuah komuniti, kampung,
daerah atau wilayah, negeri sehinggalah kepadapembentukan negara yang harmonis.
Kejayaan sesebuah negara amat bergantung kepada kejayaan kelompok mikro, iaitu
komuniti kampung dan keluarga.
Sekiranya ibubapa berjaya memimpin ahli keluarga, ketua kampung atau
penghulu boleh dikira telah berjaya sebahagian besarnya.
Kampung cemerlang, kepimpinan negeri akan lebih banyak mempunyai ruang untuk
memajukan negeri tanpa banyak kerenah dan masalah dalaman, yang mana hari ini
menjadi isu yang mengganggu seperti keruntuhan sosial, keretakan rumahtangga,
pergaduhan, pembunuhan, jenayah dan sebagainya.
Lantaran itu, untuk langkah pengukuhan menjadikan profesion kepemimpinan
dipandang tinggi, ia mesti bermula dengan dengan memartabatkan profesion ibubapa
untuk dihayati oleh semua.
Hari ini, profesion kepemimpinan dalam jabatan, syarikat mahupun politik
menjadi rebutan ramai orang. Menjadi seorang YB adalah satu kemegahan, meskipun
berdepan dengan pelbagai reaksi dan kadangkala tentangan daripada rakyat
setempat.
Ironisnya, menjadi pemimpin dalam keluarga banyak tidak diendahkan malahan
ramai yang tidak jelas tentang bidang tugas serta mengabaikannya. Barangkali
kerana tidak ada pilihanraya di kalangan ahli keluarga sama ada boleh melantik
semula atau menggugurkan ibubapa daripada jawatan tersebut.
Idea mewujudkan piawaian keluarga cemerlang adalah sesuatu yang perlu
dipertimbangkan, agar profesion ibubapa dipandang tinggi dengan adanya tahap
penilaian seperti ini. Ia juga membolehkan untuk diberi pengiktirafan kualiti
perkhidmatan ibubapa kepada anak-anak, kualiti hubungan anak-anak dalam
keluarga serta beberapa aspek lain yang berkaitan, sepertimana pengiktirafan
anugerah kualiti di peringkat jabatan, negeri dan nasional.
Usaha sebegini adalah perlu dijayakan dengan sokongan semua pihak.
Penubuhan Mimbar Permuafakatan Ibubapa Malaysia (MAPIM) adalah sesuatu yang
tepat untuk menerajui masyarakat ke arah memikirkan cabaran, solusi, masa depan
ibubapa menghadapi peredaran zaman.
Dahulu, isu sebegini tidak difikirkan secara serius memandangkan kebanyakan
ibubapa melaksanakan duti mereka secara sepenuh masa, di samping menjalankan
kerja-kerja mencari rezeki. Hari ini, baik ibu mahupun bapa, kebanyakannya
secara sepenuh masa terlibat dengan urusan kerja di luar rumah, meninggalkan
anak-anak dan keluarga di bawah pengawasan pembantu rumah.
Tidak hairanlah, akhir-akhir ini timbul isu peristilahan 'pengurus
rumahtangga' untuk menggantikan imej pembantu rumah pada masa depan.
Persoalannya, apakah bidang tugas ibubapa semakin mencabar atau dilihat semakin
profesional yang menyebabkan perlu kepada seorang pengurus tambahan.
MAPIM dilihat mampu memainkan fungsi sebagai dewan perwakilan untuk ibubapa
bersidang dan bermuafakat mencari penyelesaian isu-isu semasa, menambahbaik
perkhidmatan sebagai ibubapa dan merencanakan masa depan bersama rakan
sejawatan.
Begitu juga dari sudut perspektif yang lain, profesion ibubapa adalah satu
jawatan yang mempunyai pengaruh dan bidang kuasa yang komprehensif. Di samping
elemen kepemimpinan yang seringkali menjadi rebutan orang ramai pada hari ini,
ibubapa juga adalah guru, kaunselor dan rajan karib.
Secara mudah, persoalan seperti, berapa banyak masa kita peruntukkan setiap
hari untuk melaksanakan tugas pengajaran kepada anak-anak.
Ataupun anak-anak kita hanya hadir kuliah sekali seminggu atau sebulan? Jika
keberadaan guru atau pensyarah dalam kelas diambilkira sebagai sesuatu yang
serius, kenapa tidak ibubapa?
Barangkali ramai ibubapa berpendapat, bidang tugas mereka hanya menjaga
anak-anak semasa bayi? Malah hari ini, mulai ramai anak-anak yang dibesarkan
oleh pembantu rumah dan pusat-pusat jagaan sejak dari bayi?
Ibu dan bapa adalah guru wanita dan lelaki, saling melengkapi tugas
masing-masing. Guru wanita lebih sesuai sebagai guru kaunselor dan guru lelaki
pula amat sesuai sebagai guru disiplin.
Begitu indah jika tugas hakiki ibubapa sebegini berlangsung dalam bentuk
sinergi yang melengkapkan tugas pengajaran anak-anak seperti sebuah sekolah.
Tidak bermakna, tidak ada peranan guru di sekolah, tetapi ibubapa adalah
guru sebenar manakala guru-guru di sekolah adalah pembantu menjayakannya.
Begitu juga, ibubapa adalah pengasuh sebenar manakala pembantu rumah atau
pusat jagaan adalah pembantu. Kedua-duanya perlu dinilai prestasi mereka dari
masa ke semasa. Sebagai ibubapa, apakah kita telah melaksanakan tugas kita
sebagai guru yang berjaya, kaunselor yang dipercayai, guru disiplin yang menyelesaikan
kebanyakan masalah disiplin, ataupun rakan karib yang menjadi tempat anak-anak
berkongsi kehidupan? Ataupun ada guru lain yang lebih disanjungi selain kita?
Kaunselor lain yang lebih dipercayai? Guru disiplin lain yang lebih dihormati?
Atau rakan karib lain yang sering mereka berkongsi segala-galanya?
Hasilnya, ramai di kalangan ibubapa yang menjawat jawatan-jawatan di atas
tetapi tidak ada kuasa melaksanakannya, hilang kepercayaan, tidak dihormati
malah ditentang terang-terangan oleh anak-anak, yang sudah tentu ada guru,
kaunselor dan rakan karib lain yang mempengaruhi hidup mereka.
Saya tertarik dengan ucapan Menteri Di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk
Haji Nasir Tun Sakaran pada Konvensyen Keibubapaan Peringkat Negeri Sabah di
Semporna, tahun lalu di mana beliau menekankan soal pentingnya ibubapa memahami
bahawa [B]profesion ibubapa itu adalah sesuatu yang sangat signifikan, malah
penentu sama ada memandu keluarga ke syurga atau sebaliknya[/B]. Dalam Islam,
ibubapa adalah dipertanggungjawab mencorakkan seluruh kehidupan anak-anak sama
ada menjadikannya baik atau jahat.
Seharusnya sebagai ibubapa yang profesional, kita mesti jelas dengan bidang
tugas hakiki yang sepatutnya menjadi indikator pencapaian prestasi (KPI) yang
diaudit untuk penilaian setiap masa. Dalam konteks ini, saya percaya konsep
audit dalam secara berintegriti adalah paling sesuai. Ini kerana penilaian
kualiti keibubapaan adalah bersifat formatif dan bertujuan untuk penambahbaikan
berteruran. Sesuatu yang sangat tepat ditentukan dalam Islam, apabila
perkahwinan antara dua insan berbeza jantina dilihat amat ampuh sebagai audit
dalam yang efektif.
Ibu menilai pencapaian KPI bapa manakala bapa menilai pencapaian KPI ibu.
Dalam hal penilaian prestasi keibubapaan, saya berpegang kepada konsep tradisi
ulama Islam bahawa anak-anak tidak seharusnya menilai prestasi ibubapa, tetapi sebagai
ibubapa yang professional dan mengamalkan prinsip kualiti yang berintegriti dan
transparen, anak-anak perlulah dijadikan responden atau sumber penilaian dengan
andaian mereka adalah pelanggan perkhidmatan kita.
Barangkali perlu ada istilah 'letak jawatan' untuk ibubapa yang gagal
menepati sasaran prestasi minimum. Atau juga mungkin perlu diwujudkan dalam
keluarga kita bentuk tindakan pembetulan segera sekiranya gagal melepasi audit,
secara berhikmah.
Ini adalah sebahagian tugas hakiki ibubapa. Sebagai satu profesion, ibubapa
mestilah merangka skop tugasan, sasaran pencapaian dan penilaian prestasi
mereka.
Organisasi seperti MAPIM, PIBG, LPPKN, JAKIM dan jabatan-jabatan agama
adalah antara yang perlu segera berkolaborasi untuk menyediakan skop tugas
ibubapa sebagai profesion yang praktikal, professional dan berkualiti. Mungkin
skop tugas ibubapa baru berbeza dengan ibubapa senior dalam beberapa keadaan berdasarkan
pemberat sesetengah aspek.
Terdapat idea ke arah mewujudkan Standard Keluarga Cemerlang yang saya kira
amat wajar dipertimbangkan, di mana ia perlu diselarikan dengan skop tugas
keibubapaan yang perlu dirangka lebih dahulu.
Tidak perlulah ditimbulkan isu profesion berbayar ataupun tidak, tetapi
lebih penting bidang tugas jawatan yang kita sandang itu terlaksana ataupun
tidak?
Ibubapa perlu merasakan tugas
keibubapaan tersebut sebagai amanah kepemimpinan di mana rakyatnya
adalah ahli keluarga ; megah dengan profesion tersebut, berkongsi pandangan dan
pengalaman dengan rakan sejawat lain bagi penambahbaikan perkhidmatan keibubapaan
dari masa ke semasa.
Dalam perspektif Islam, perbincangan ini bukanlah asing kerana ia berkait
rapat dengan amanah sebagai ibubapa, adab dalam keluarga dan ibadah mendidik
serta membesarkan anak-anak. Namun dalam perbincangan konteks semasa,
perspektif profesion dan kualiti yang mudah difahami oleh masyarakat hari ini
diambilkira sebagai wasilah untuk lebih mudah difahami dan dihayati.
Wadah perbincangan sebegini perlu diteruskan dengan perbincangan lebih
terperinci tentang pendrafan skop tugas hakiki ibubapa, audit berdasarkan
piawaian keluarga cemerlang, cabaran profesion keibubapaan dan solusi-solusi
praktikal sama ada berbentuk falsafah, inovasi mahupun produk teknologi yang
boleh meningkatkan lagi perkhidmatan keibubapaan dalam era yang semakin
berubah.
http://romdani45498.blogspot.com/2011/01/menghayati-tugas-keibubapaan-sebagai.html