Nikah Tutup Aurat, Sanding Buka Aurat
Setiap kali majlis nikah, ia biasanya dilangsungkan di masjid mahupun di
surau. Jadi, di situ biasanya ahli keluarga terdekat dan rakan taulan hadir
untuk menyaksikan sendiri majlis bersejarah yang menyatukan dua hati.
Biasalah, jika dilakukan di masjid, semua yang hadir perlu mematuhi adab
memasuki masjid. Sudah pasti, antara lain yang dipatuhi ialah adab menutup
aurat dengan sempurna.
Jadi, di situ dapat kita lihat ramai yang hadir cantik menutup aurat
khususnya yang perempuan, termasuklah perempuan yang akan dinikahkan.
Alangkah indahnya majlis penyatuan hati disertai oleh orang-orang yang patuh
pada tuntutan agama. Aurat dijaga, kelakuan diperhati. Si pengantin perempuan
elok menutup aurat, duduk tertunduk mengenang hari-hari yang bakal dilalui sebagai
isteri sejurus lafaz nikah oleh bakal suaminya disahkan.
Namun yang sedihnya, ia hanya setakat majlis nikah itu.
Apabila tiba majlis persandingan, tudung hilang entah ke mana, aurat
terdedah di sini sana.
Tiada lagi kesucian majlis sepertimana yang ada pada majlis nikah
sebelumnya. Itu belum lagi dibincangkan hal tingkah laku yang ada kalanya
hilang kawalan. Dalam sedar mahupun tidak, banyak mata yang memerhati.
Malangnya, bukannya semua yang hadir ke majlis persandingan adalah mahram
kepada pengantin. Sudah tentu hadirin terdiri daripada orang-orang yang bukan
mahram juga, yang tidak halal mata mereka menjamah aurat pengantin, khususnya
yang perempuan.
Jika dalam majlis nikah, segala tuntutan agama boleh dipenuhi, mengapa tidak
meneruskannya dalam majlis persandingan pula?
Apakah ada beza amalan agamamu ketika majlis nikah dan ketika majlis
persandingan? Apabila ada beza auratmu kepada yang bukan mahram ketika di
masjid dan ketika di luar masjid? Mengapa ada kesedaran bahawa agamamu ialah
Islam ketika dinikahkan, tetapi tidak ketika berada di persandingan?
Pelik. Tetapi itulah realitinya yang kerap berlaku sekarang.
Buat bakal pengantin, sedarlah bahawa Islam mewajibkan umatnya menutup aurat
kepada orang yang bukan mahram setiap masa dan tidak kira di mana-mana.
Nasihat ini bukan khusus untuk wanita sahaja. Buat keluarga pengantin
perempuan, tunjukkanlah cara yang terbaik yang menurut tuntutan Islam dalam
menganjurkan majlis. Buat si bakal suami, ketahuilah bahawa sejurus lafaz nikah
disahkan, tanggungjawab, dosa dan pahala isteri ditanggung suami. Usahlah
menjadi suami yang dayus dengan membenarkan isteri mendedahkan auratnya.
Seolah-olah tidak ada makna dan tidak istimewa nikah yang dilafazkan
sekiranya mata orang-orang yang bukan mahram berkongsi melihat aurat isterimu