Mengenai Saya

Foto saya
Pangandaran, West Java, Indonesia
Simple

Kamis, 19 April 2012

Memikat Hati Si Dia

"Ustaz, saya bakal melangsungkan perkahwinan Februari nanti. Harapnya, dapatlah saya dengar sedikit sebanyak nasihat dari ustaz sebagai bekal saya  menempuh bahtera rumah tangga nanti," seorang sahabat dari seberang laut bertanyakan nasihat saya di suatu sore.
"Alahai Azman, awak pun tahukan, saya ni tunang pon tidak, macam mana nak jawab soal nikah kahwin ni..?" Saya menambah humor, menyempitkan jurang kami.
"Tak pernah pulak ustaz tak jawab kalau saya tanya sesuatu sebelum ni..?" Beliau menyoal saya semula.
"Kalau awak tanyakan pasal Fiqh Minoriti tentang rakan-rakan kita di Kutub  Utara, mungkin ana boleh cuba jawab. Tapi, kalau soal rumah tangga ni,  susah sikit untuk saya respon. Belum ada pengalaman!" Saya  cuba mendekatkan lagi telinga dan hati beliau terhadap pesan saya  selepas ini. Biar hati itu betul-betul terbuka luas untuk menerima,  sebelum saya menyuapkan resepi agung untuk berumahtangga.
Bukan alim, bukan berpengalaman. Hanya berkongsi apa yang  pernah saya baca dan jumpa. Berkawan dengan orang tua-tua menemukan saya silibus yang tak akan ditemui dalam bilik kuliah.
"Apa matlamat utama awak?" Saya cuba membuat tawaran.
"Saya nak membahagiakan isteri saya," jawab  beliau ikhlas. Nada suaranya sudah berubah. Sesuai dengan topik yang  sedang kami bincangkan. Langkah ini langkah susah dan payah. Langkah  kedua untuk mendirikan ummah yang berpayungkan khilafah.
"Kalau macam tu, senang sahaja. Pikat hati si dia. Ikatkan dengan hati awak. Pastikan hidup mati awak bersama. Bercinta hingga ke syurga, bak kata Ustaz Hasrizal," saya cuba mempromosikan produk.
"Nak pikat macam mana tu..? Boleh dikongsikan sedikit..?" Nada suaranya semakin ghairah untuk dijamukan resepi saya. Inilah masanya, umpan sudah mengena.



"Pertama  sekali, selepas awak dan dia sudah halal dengan terlafaznya 'aku terima  nikahnya', kucup dahinya dalam-dalam. Kalau berpeluang, kucuplah  matanya. Kemudian, ucapkan di telinga si dia yang awak sangat cintakan  si dia. Tapi, jangan lupa untuk ucapkan juga syukur pada yang  mengurniakan cintanya pada awak, ALLAH. Sujud syukur! Lepas itu, ucapkan  juga terima kasih yang tidak terhingga  kerana sudi menerima awak sebagai peneman hidup," saya sedikit bersungguh sewaktu bercerita.
"Aiwah, romantik pulak ustaz ni. Pasti cair hati isteri saya nanti," galak suaranya dengan sedikit ketawa di seberang talian sana.
"Lepas  tu, kalau berpeluang, rancangkan bulan madu bersama isteri. Tak perlu  belanja yang tinggi, cuma pastikan peluang itu peluang yang berkualiti.  Selaraskan komunikasi, selaraskan denyut nadi dan serasikan matlamat  serta tujuan hidup masing-masing. Bersedia untuk menerima kekurangan dan  mengiktiraf kelebihan masing-masing. Bincangkan masa depan dan satukan  imaginasi korang berdua."
"Sekali  sekala, adakan [I]surprise[/I] untuk si dia walau hanya sekuntum bunga. Kalau  ada bajet yang lebih, mungkin boleh dibelikan sesuatu yang lebih  berharga."
"Satu lagi, nafkah.  Ini perkara penting yang telah digariskan dalam syariat kita. Jangan  lewat untuk menunaikan kewajipan awak walau isteri awak ada  kerjaya."
"Seterusnya,  jangan lupa, bila awak terpaksa berpisah atau tinggalkan  si dia sementara waktu, kucup dahi dan matanya sebelum tinggalkan rumah  dan selalukanlah untuk utuskan kata-kata rindu supaya hatinya sentiasa  subur dengan bunga-bunga cintanya terhadap awak. Pastikan kamu sentiasa  menghubunginya setiap masa. Jangan terlewat walau sesaat cuma."
"Lebih  penting, tunjukkan yang si dia lebih penting dari segala-galanya.  Jangan pula awak liat untuk bertanyakan khabar kondisi si dia sedang  dalam masa yang sama, awak saban hari memeriksa enjin dan kondisi Produa  Myvi di depan tangga!" Sedikit humor saya selitkan dalam wasiat yang agak sinis ini. Lalu, sedikit gelakan dapat saya tangkap di hujung talian.
"Jangan  lupa, bincangkan secara baik, jadual pulang berhari raya. Bimbang si  dia terluka kalau tidak pulang ke rumah mertua. Jadi, jangan kedekut  untuk korbankan kampung halaman untuk kebahagiaan si dia."
"Huih,  banyak benar ye petua ustaz, macam pakar! Ayat pula power, macam dah  bercucu tiga. Ada lagi ke ustaz? Saya dah makin bersemangat ni," Azman  semakin bersemangat. Setiap patah perkataan saya dicerap  sebaik-baiknya. Respon pula sentiasa ada dicelahan setiap nasihat dan  idea.



"Ye,  ada lagi. Mungkin ini yang paling istimewa. Bila dah ada cahaya mata  nanti, cinta kamu akan terbahagi dua. Separuh untuk isteri  dan separuh untuk anak-anak.  So, jangan lupa untuk ungkapkan  penghargaan yang tidak terhingga sepanjang tempoh hamil sehingga selepas  bersalin. Ungkapan kita akan menjadi penguat semangat si dia untuk  terus menempuh saat kritikal sepanjang tempoh hamil dan proses  melahirkan bayi. Saya ada satu resepi rahsia," saya memancing lagi.
"Apa tu ustaz, tolonglah jangan rahsia, nanti rumah tangga saya kurang bahagia," usiknya sambil diselangi ketawa bahagia.
"Ok,  resepi rahsianya, apabila anta sambut ulang tahun kelahiran anak-anak,  hadiahkan juga cenderahati penghargaan kepada si dia yang berkorban 9  bulan mengandungkan anak-anak."
"Ada lagi ustaz?" Suaranya semakin galak.
"Habis. Setakat itu sahaja," saya memutuskan kata-kata. Titik noktah diletakkan di hujung bicara.
"Hai, saya tengah bersemangat ni... jantung pun tengah kencang berdegup,  janganlah berhenti mengejut begitu ustaz. Nanti boleh jatuh strok saya  jadinya." Selnrohnya meminta perbualan kami diperpanjangkan lagi.
"Kalau awak strok, wasiatkan tunang awak untuk saya," saya berseloroh sambil ketawa bersahaja.
"Kalau awak masih sudi, masih ada resepi yang kurang menarik. Jarang orang suka  mendengar resepi ini. Kalau awak betul-betul mahu, saya boleh sambung," nada suara saya mendatar.
"Boleh, saya sedia. Saya tahu, pasti akan ada manfaatnya," Azman masih bersemangat.
"Resepi ini bukan untuk memikat hati. Tapi untuk menghidupkan hati yang separuh mati. Mengesat  air mata yang tak nampak alirannya. Meredakan pekikan suara hati yang tidak zahir bunyinya. Awak nak dengar ke?" Nada saya bertukar sedikit serius.
"Apa tu ustaz?" Nadanya kini berubah.
"Awak pernah kucup dahi ibu sendiri?" Tanya saya ringkas.
"Belum," ringkas juga jawapan Azman.
"Kucupi  dahi  ibu kamu sebelum kamu mengucup dahi isteri. Ibu itu yang berkorban 9  bulan mabuk, loya dan letih mengandungkan kita dan bersabung nyawa  melahirkan kita.


Mengasihi kita tanpa sebarang syarat ataupun mahar  mahupun nafkah. Dahi ibu kita lebih layak untuk kita kucup sebelum kita  kucup dahi isteri yang baru kita kenali beberapa bulan."
"Pernah awak  berbulan madu dengan ibu? Berkongsi tujuan dan matlamat hidup  dengan ibu? Bergurau senda dan bermanja-manja dengan ibu? Kalau belum,  honeymoon dulu dengan ibu awak. Kelak nanti, hatinya tidak begitu remuk  melihat bahagianya bulan madu kita bersama isteri dengan melupakan jasa  ibu yang pernah meletakkan seluruh hidupnya untuk kebahagiaan kita.  Bahagianya honeymoon kita sehingga terlupa untuk menghubungi ibu anta di  desa sana."
"Pernah awak berterima kasih pada ibu kerana melahirkan awak? Ibu yang sepanjang  hidupnya menemani hidup awak? Kalau masih belum diungkapkan,  segerakanlah ia sebelum awak berterima kasih kepada isteri yang sudi  menjadi peneman hidup awak. Ibu tua itu lebih aula (utama) menerima ucapan itu."
"Pernah  surprisekan ibu awak dengan sesuatu hadiah yang istimewa? Kalau belum,  surprise kan dulu si ibu itu. Nescaya, hatinya kembali berbunga-bunga.  Ibu  itu pastinya sunyi bila kehilangan kita, anak kesayangannya."
"Sewaktu kita  mengira belanja harian dan nafkah untuk isteri, fikirkan juga nafkah  dan belanja untuk ibu kita yang tak bergaji di desa sana. Ibu itu telah  membesarkan kita tanpa sebarang upah mahupun bayaran. Ye, duit yang kita  akan kirimkan itu bukannya bayaran terhadap kasih sayang mereka, tapi  ianya menjadi tanda yang kita juga masih mengingati malah menyayangi  mereka."
"Man, saya yakin, mak awak sangat sunyi waktu ini. Saban detik, telinganya  pasti ingin mendengar deringan dari seberang laut. Pasti matanya selalu  menatap potret awak yang digantung atau yang terselit di celah dompet.  Hubungilah ibu awak sekerap yang mungkin. Kalaupun tidak seminggu  sekali, pastikan dalam sebulan, khabar awak sampai kepada mak yang  jauh di kampung."
"Man,  kalau dengan satu ibu dan satu ayah, kita sudah tidak mampu untuk  memikat hati kedua-duanya, saya bimbang lebih banyak hati-hati yang akan  terluka selepas kita mempunyai dua ibu dan dua ayah."
Gelak  ketawa bertukar menjadi esak dan sendu. Nada Azman yang riang kini  berubah ke sebaliknya. Saya menghentikan kalam seketika. Suasana hening  seheningnya. Hanya sedikit gangguan dari gelombang talian yang  seakan-akan turut terpengaruh dengan suasana.
"Saya  tak berniat untuk menghancurkan impian bahagia awak. Tapi, saya yakin  dengan sempurnanya plot ini, awak akan lebih berbahagia. Ummat ini akan  lebih berbahagia."
"Saya  yakin yang awak sudah maklum. Bait Muslim (keluarga Islam) tidak akan sempurna tanpa  sempurnanya Individu Muslim.


Bagitulah juga, Masyarakat Muslim tidak  akan lahir dari  Bait Muslim yang tempang. Khilafah tidak akan terbina dengan Masyarakat  yang tidak stabil. Bersemangatlah, kitalah pemulanya. Saya yakin, tarbiah  yang awak lalui telah menjadikan awak Fardul Muslim (individu Muslim) yang baik. Tinggal  lagi, Allah akan mendidik awak untuk melahirkan Bait Muslim yang baik.  Adikku Azman, inilah jalannya."
Go home and love your  family
Jawapan  Mother Teresa selepas ditanyakan tentang bagaimana untuk mempromosikan  keamanan kepada dunia. Pertanyaan itu diajukan beliau menerima Hadiah  Nobel Keamanan pada tahun 1979.
"Sebaik-baik  kamu adalah oran yang paling baik hubungannya dengan ahli keluarganya.  Dan aku adalah orang yang paling baik untuk keluargaku." - Hadis
Pastikan  perkahwinan kita membahagiakan sejuta hati. Memuaskan sejuta jiwa.  Menghidupkan sejuta roh dan menyelamatkan sejuta ummah.
Mulailah  dari diri kita. Dari rumah kita. Dari Isteri dan anak-anak kita. Dari  masyarakat kita. Dari negeri kita. Dari negara kita. Moga payung  khilafah akan menaungi kita kelak.
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah nasib mereka sendiri." - Al-Quran


http://romdani45498.blogspot.com/2010/12/memikat-hati-si-dia.html