Ada banyak perkara yang kita tidak boleh lupa. Kita tidak lupa ibu bapa,
kita ingat harta benda dan antara yang kita tidak lupa ialah kebaikan yang
pernah kita lakukan.
Malah, sesetengah daripada kita apabila berjumpa orang yang pernah kita
berjasa, teringat jasa kita. Kalau itu yang kita teringat, kita akan sentiasa
banyak mengungkit dan mungkin nanti akan ada banyak halangan dalam berhubung
sesama manusia.
Dalam pertemuan kali ini, mari kita mendengar pesanan dan nasihat Luqman
al-Hakim kepada anaknya.
Pesannya: "Wahai anakku, hendaklah kamu ingat kebaikan orang dan lupa
kejahatan orang. Dan hendaklah kamu lupa kebaikan kamu terhadap orang dan
ingatlah kejahatan yang kamu lakukan kepada orang."
Mari kita perhalusi pesanan Luqman di atas.
1. Mengingati segala kebaikan yang dilakukan orang lain kepada kita. Apabila
kita ingat kebaikan orang, kita akan berasa kekurangan kebaikan yang kita
lakukan kepada orang lain dan kita akan berusaha melakukan kebaikan.
2. Mengingati segala kejahatan yang kita lakukan. Ini supaya kita tidak
mengulangi kesalahan dan kesilapan kita terhadap orang lain.
3. Lupakan kebaikan yang pernah kita lakukan. Apa-apa kebaikan yang pernah
kita lakukan hendaklah kita lupakan, kerana Allah saja yang dapat menilai apa
yang kita buat.
Ditakuti nanti, apabila kita sentiasa ingat kebaikan yang kita lakukan,
menyebabkan syaitan akan memaut hati kita dan membisikkan supaya mengungkit kebaikan
yang pernah dilakukan.
Orang yang mengungkit kebaikan yang dilakukan menyebabkan amalan berkenaan menjadi
sia-sia dan tidak bernilai di sisi Allah.
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: "Orang yang mengungkit kebaikannya
sama seperti daun kering yang dijilat api."
Betapa ruginya amalan perbuatan terbabit. Habis begitu sahaja hanya dengan
sekali ungkitan.
4. Lupakan kejahatan yang pernah dilakukan orang terhadap kita. Sebagai
manusia, memanglah susah untuk kita melupakan kejahatan yang pernah dilakukan
orang terhadap kita.
Bagaimanapun, agama kita menuntut supaya melupakan kejahatan mereka. Kita
perlu melawan supaya kita boldh lupakan kejahatan orang lain.
Apabila kita melupakan kejahatan dan kesalahan orang lain, kita dapat
membantu dan menolong mereka dengan melakukan kebaikan.
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: "Orang yang baik ialah orang yang
berbuat baik kepada orang membuat baik kepadanya dan membuat baik kepada orang
yang membuat jahat terhadapnya."
Lupakan kejahatan orang terhadap kita. Tiada guna mengingati kejahatan dan
kesalahan orang kerana ia boleh merosakkan akal serta kebahagiaan hidup kita,
malah menjadikan hidup kita tidak ceria.
Marilah kita sama-sama mengikhlaskan diri dalam segala tindakan tanpa
mengingati dan mengungkit kebaikan yang dilakukan supaya mendapat keredaan
Allah serta kebahagiaan dunia mahupun akhirat.
http://romdani45498.blogspot.com/2010/12/usah-ungkit-kebaikan-dibuat.html